KUALA LUMPUR 13 Dis. - Pementasan teater Muzikal Tun Mahathir yang dipersembahkan sebanyak 19 kali pada 24 September hingga 9 Oktober lalu akan dipentaskan semula di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) di sini, mulai 21 hingga 30 Januari tahun depan.
Ketua Pengarah IB, Mohamed Juhari Shaarani berkata, teater tentang kisah hidup bekas Perdana Menteri terbitan CTRA Production itu dipentaskan sekali lagi atas permintaan orang ramai yang tidak berpeluang menyaksikannya.
"Sepanjang pementasan kali pertama itu diadakan, Panggung Sari berjaya menarik seramai 19,967 penonton menyaksikannya.
"Selain faktor sambutan, pementasan dalam waktu terdekat ini juga boleh menjimatkan kos hampir 50 peratus kerana ia masih menggunakan prob dan set pentas yang sama," katanya pada sidang akhbar Muzikal Tun Mahathir 2 di sini.
Sementara itu, penerbit CTRA Production, Siti Rohayah Attan berkata, selain permintaan ramai, pementasan itu juga adalah atas keinginan Dr. Mahathir yang tidak berpeluang menyaksikan persembahan Muzikal Tun Mahathir yang lalu.
Bagi merealisasikan pementasan kali kedua itu, beliau telah meminta kebenaran daripada bekas negarawan itu sebelum teater muzikal arahan Rosminah Tahir dan skrip tulisan Ismail Kassan itu bakal menemui para penonton kelak.
"Saya telah mendapat keizinan daripada Dr. Mahathir sendiri untuk mementaskan semula teater muzikal ini menerusi satu surat bertarikh 29 Oktober lalu," katanya.
Bagaimanapun, jelas Siti Rohayah, buat masa ini, pihaknya sedang mencari dua pelakon bagi menggantikan Erra Fazira yang melakonkan watak Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali dan Zizan Nin (watak Dr. Mahathir sewaktu remaja) kerana sebab-sebab tidak dapat dielakkan.
No comments:
Post a Comment